Teknologi diabad ini berkembang dengan pesat mengikut peredaran semasa. Dengan teknologi terkini, kita dapat berhubung dengan sesiapa saja walaupun berada beribu-ribu batu. Begitu juga dengan teknologi telefon bimbit masa kini.
Ianya bukan sekadar berfungsi sebagai penghubung, malahan ia menjadi satu alat pelbagai fungsi. Selain alat perhubungan, ia berfungsi sebagai kamera, perakam video, dan pemain mp3. Sebut saja perakam video, ramai pengguna menyalahgunakan fungsi tersebut terutamanya remaja.
Tak hairanlah jika video lucah berbentuk 3gp mudah didapati dimana-mana saja dan menyebabkan remaja zaman kini mudah terjerumus ke lembah maksiat. Jika nak dibandingkan remaja sekarang dan dahulu, memang banyak perbezaannya terutama dari segi sosial. Remaja zaman kini mudah terjebak didalam isu-isu yang boleh menyebabkan mereka terpesong dari akidah.
Jika dahulu, video-video lucah begitu susah didapati. Tetapi, dengan bantuan teknologi terkini, ianya mudah didapati di mana-mana sahaja terutamanya melalui internet. Keadaan ini menjadi lebih serius apabila remaja zaman kini berani melakukan maksiat dimana-mana tanpa segan-silu. Tak hairan jika kebelakangan ini, banyak kes pembuangan bayi dilaporkan.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Isra’ ayat 32:
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat."
Statistik kes pembuangan bayi bagi tahun 2007 adalah sebanyak 76 kes, di mana ia meningkat sebanyak 14 kes dari tahun sebelumnya. Ini menunjukkan penambahan bilangan kes buangan bayi di negara kita.
Terbaru, pada 16 hb Jun 2008, seorang siak menemui bayi lelaki yang masih betali pusat dibungkus dengan plastik dan surat khabar di dalam beg galas yang tergantung pada disatu tiang hadapan Masjid Jamek Kampung Sepri pada kira-kira jam 7 malam.
Pada mulanya beliau menyangkakan ada orang tertinggal beg di masjid tersebut. Bagaimana pun, beliau tergerak hati untuk membuka beg tersebut. Kata beliau lagi, kejadian seumpama itu adalah pertama berlaku di masjid tersebut.
Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa' ayat 93:
"Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar."
Dimanakah rasa tanggungjawab kita sebagai manusia? Sanggup membuang anak hasil perbuatan terkutuk di merata-rata tempat.
Buat pembaca budiman, renungilah amaran dari Allah SWT dalam surah Al-A'raf ayat 179:
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka jahanam kebanyakkan dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai."
No comments:
Post a Comment